MELANGKAH PENUH SEMANGAT
Pernah main Subway Surf?
Setiap pemain pasti akan target untuk mencapai high score dan mengumpulkan banyak duit, kan?
Begitu juga jalan ke masjid.
Siap berwuduk dan jawab azan, misi utama kita adalah solat ke masjid. Ini ada beberapa motivasi ke masjid.
Rasulullah bersabda,
“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan suci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti pahala orang yang haji yang sedang ihram.”
(HR: Ahmad 22304, Abu Daud 558. Dinilai Hasan oleh Al-Albani)
Diriwayatkan oleh Abd al-Rahman bin Jabr R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Tidak akan disentuh oleh api neraka kedua kaki hamba yang berdebu menuju ke jalan Allah.
Riwayat al-Bukhari (2811)
Malah ada ada waktu tertentu yang beserta ganjaran!
Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
"Barangsiapa pergi ke masjid pada waktu pagi atau petang hari, maka Allah menyediakan untuknya suatu hidangan di syurga, setiap kali dia pergi pagi atau petang hari."
(HR Bukhari)
Buraidah melaporkan, Rasulullah SAW bersabda,
"Sampaikan berita gembira ini kepada semua orang. Mereka yang berjalan pada waktu malam gelap menuju ke masjid, diberi cahaya yang terang benderang pada Hari Kiamat kelak."
(HR Abu Daud dan Tirmidhi)
Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah SAW pernah berkata,
"Sesiapa yang membersihkan dirinya daripada najis dan kotoran di rumahnya, kemudian beliau pergi ke masjid bagi menunaikan salah satu daripada sembahyang lima waktu, maka Allah memberikan ganjaran bagi setiap langkahnya menuju ke masjid itu. Setiap satu langkah menghapuskan satu dosa kecil yang pernah dilakukan dan dinaikkan satu darjat."
( HR Muslim )
Ubay bin Kaab melaporkan, "Terdapat seorang Ansar. Rupa-rupanya, rumahnya adalah rumah yang paling jauh dari masjid. Namun demikian, beliau tidak pernah terlewat bersolat di masjid. Setiap waktu solat dia pasti sempat menunaikannya bersama jemaah lain.
Ada orang mengatakan kepadanya, "Bukankah lebih baik apabila saudara memiliki keldai? Saudara dapat jadikannya sebagai kenderaan apabila berjalan pada waktu malam gelap dan pada waktu siang yang panas terik?'
Namun lelaki Ansar tadi menjawab, 'Saya tidak suka apabila rumah saya berhampiran dengan masjid. Sebenarnya saya mahu setiap langkah saya pergi dan pulang dari masjid itu diberi ganjaran pahala.'
Apabila Rasulullah SAW mendengar kata-kata lelaki itu, Baginda lantas memberikan respon kepadanya. 'Sebenarnya Allah sudah mengumpulkan semua pahala bagi saudara bagi setiap langkah saudara itu."
(HR Muslim)
Abu Musa melaporkan, Rasulullah SAW berkata,
"Sebenarnya pahala yang paling besar diberikan oleh Allah kepada orang yang mendirikan sembahyang adalah kepada orang yang paling jauh berjalan ke masjid. Pahala yang besar itu juga diberikan kepada orang yang duduk menunggu waktu sembahyang supaya dapat bersama-sama imam menunaikan solat fardhu. Ini adalah lebih baik daripada solat sendiri, kemudian beliau tertidur."
(HR Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat, dan (rakaat yang tertinggal itu) maka sempurnakanlah.
Riwayat al-Bukhari (908)
Diceritakan Abdullah bin Abbas bahwa dia pernah tidur di dekat Rasulullah. Seusai azan dikumandang muazin, keluarlah Rasulullah untuk shalat Subuh. Beliau berdoa:
Allahummaj’al fi qalbi nuran wa fi lisani nuran waj’al fi sam’i nuran, waj’al I bashari nuran, waj’al min khalfi nuran, wamin amami nuran, waj’al min fauqi nuran, wa min tahti nuran, allahuumma a’thini nuran
“Ya Allah, jadikanlah di dalam hatiku cahaya dan di dalam lisanku (juga) cahaya. Jadikanlah di dalam pendengaranku cahaya dan di dalam penglihatanku (juga) cahaya. Jadikanlah dari belakangku cahaya dan dari depanku (juga) cahaya. Jadikanlan dari atasku cahaya dan dari bawahku (juga) cahaya. Ya Allah, berilah aku cahaya.”
(HR Bukhari Muslim).
Moga kita diberi semangat fastabiqul Khairat...





Comments
Post a Comment